Undangan Perkahwinan Wajib Dihadiri Tetapi Boleh Ditolak Jika ...

Undangan perkahwinan WAJIB dihadiri tetapi boleh ditolak jika….
Bila hujung minggu atau tibanya musim cuti sekolah, ramai yang akan menerima undangan majlis perkahwinan. Sama ada jemputan melalui kad, pesanan di facebook, whatsapp mahupun SMS, ianya tetap menjadi jemputan rasmi. Tidak kira apa medium sekalipun jemputan itu dihantar.

Kadang-kadang atas aral yang melintang, kita tidak dapat hadir ke jemputan tersebut. Ada juga yang mengirim sumbangan kepada tuan rumah kepada rakan-rakan lain yang hadir sebagai menghormati majlis yang tidak dapat dihadiri.

Menghadiri jemputan dan undangan kenduri kahwin adalah fardu ain, iaitu wajib ke atas setiap individu yang diundang. Ibnu Mas’ud meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda, maksudnya:

“Apabila seseorang kamu dijemput kepada jamuan makan hendaklah dia menghadirinya. Jika ia tidak berpuasa hendaklah dia makan dan jika dia berpuasa hendaklah ia berdoa untuk keberkatan yang menjemput.”
Hadis Riwayat at-Tabrani

Dengan itu, hukum memenuhi jemputan ke majlis atau jamuan adalah wajib sekiranya tiada perkara-perkara maksiat pada majlis itu. Namun kewajipan memenuhi undangan tersebut juga bergantung kepada syarat-syarat yang tertentu. Antaranya:

1) Orang yang dijemput tidak berkeuzuran yang tidak menghalangnya dari menghadiri undangan tersebut.
2) Tidak ada perkara-perkara mungkar seperti minuman arak, majlis tari-menari pada majlis tersebut.

Walau bagaimanapun dalam keadaan tertentu jemputan ke walimatulurus tidak wajib dipenuhi. Antara yang disebut oleh Imam an-Nawawi adalah seperti berikut:

1- Jika makanan yang dihidangkan tidak halal atau mengandungi syubhah.
2- Jemputan dikhususkan kepada orang-orang tertentu (kaya) sahaja.
3- Jemputan yang didorong dengan niat tertentu (tidak ikhlas).
4- Terdapat kemungkaran dalam majlis tersebut.
5- Kehadirannya ke majlis walimah boleh mendatangkan mudarat kepadanya.
6- Jemputan tidak ditujukan kepada diri seseorang secara peribadi, hanya secara umum.
7- Telah menyatakan keuzuran terlebih dahulu kepada yang menjemput.
8- Seorang isteri yang tidak mendapat keizinan suami.

Andai berlaku banyak jemputan kenduri pada hari yang sama, maka lihatlah pada jenis kenduri yang dijemput. Sekiranya jemputan itu ada yang wajib dan ada yang sunat, utamakan yang wajib. Jika semuanya walimatul urus yang wajib dipenuhi, maka beri keutamaan kepada yang paling hampir. Antara saudara dekat dengan suadara jauh, utamakan saudara yang dekat. Begitu juga antara jiran yang dekat dengan jiran yang jauh, utamakan jiran yang dekat.